Monday, March 17, 2008

KISAH SA'ID SALMI




Kisah Sa’id Salmi







Dengar kisah seorang pemuda,
Hidup di zaman Nabi Muhammad,
Rupa jelek cacat muka,
Kulit badan hitamnya menyempad.†

Jijik orang memandangnya,
Jumpa di jalan sapa tiada,
Wajah buruk parut merata,
Jalan sendiri sebatang kara.

Jumpa Nabi berdatang sembah,
Junjung titah minta sempena,
Wahai junjungan Rasul Allah,
Kulitku hitam buruknya rupa.

Adakah syurga diberikan Tuhan,
Kepadaku ini wahai Habibi?
Kerana hamba bukan rupawan,
Kulitku hitam tiada terperi.

Sabda Nabi lembut suara,
Jawab pinta tanpa bimbang,
Siapa saja masuk syurga,
Yang ikut jihad di medan perang.

Siapa berperang di Jalan Allah,
Syurga indah telah tersedia, ۞1
Jawab pemuda menerima titah,
Hamba junjung atas jemala.

Demi Tuhan Mahapencipta,
Haramkan hamba engkarkan janji,
Nabi Muhammad saksi serta,
Rasul utama pesuruh Ilahi.

Dahulu waktu wahai junjungan,
Sebelum berjumpa dengan mahkota,
Hamba percaya telah beriman,
Yakin akan Tuhan Yang Esa.

Sebelum hamba datang ke mari,
Di dalam hati yakin tak pokah,
Kini setelah jumpa Habibi,
Iman di diri jadi bertambah..

Izinkan hamba sampaikan hajat,
Maksud hati terpendam lama,
Dengarkan kata wahai hadharat,
Sembah sepatah bisikan jiwa.

Hasrat berjodoh lama terpendam,
Tiada siapa cintakan hamba,
Kerana benci kulitku hitam,
Dara tiada balaskan rasa.

Hamba ini wahai junjungan,
Turunan baik orang berbangsa,
Bukan asal orang buangan,
Bukan anak tiada berbapa.

Datuk hamba Nabi Sulaiman,
Orang berbangsa asal mulia,
Turunan cantik juga rupawan,
Hamba seorang yang buruk rupa.

Hamba hodoh tiada bandingan,
Ikut teladan saudara bunda,
Itulah maka rupa demikian,
Lainnya semua indah belaka.

Saudara kini akan bernikah,
Insya Allah dara jelita,
Puteri Umar bangsawan megah,
Gadis rupawan elok parasnya.

Kaum Daud pahlawan perang,
Masuk Islam baru sahaja,
Umar bin Wahab sahabat andalan,
Di sini sekarang gerangannya tiada.

Pemuda jauhari menjawab titah,
Sujud sembah mengangkat jari,
Wahai junjungan Rasul Allah,
Memang Umar tiada di sini.

Nabi bersabda menanya lagi,
Tahukah saudara di mana rumahnya,
Pemuda hitam jawab sendiri,
Hamba tanyakan wahai Syaikhuna.

Ke rumah Umar pergilah kini,
Membawa salam sebingkisanku,
Ketoklah pintu sana menanti,
Izin diminta lebih dahulu.

Sebelum masuk sampaikan pesan,
Kami ke mari suruhan Nabi,
Perintah Rasul bawa khabaran,
Jumpai tuan sahabat bestari.

Nabi Muhammad bijak jauhari,
Suruh hamba menjumpa tuan,
Harap tolak tidak terjadi,
Nikahkan hamba dara rupawan.

Terimalah hamba dagang melarat,
Jadi menantu tuan bangsawan,
Demikian titah Nabi Muhammad,
Harap berganda penuh harapan.

Gadis tuan dara jelita,
Harap menjadi isteri kami,
Parasnya elok budi bahasa,
Bunga dunia bijak bestari.

Jijik takut penghuni rumah,
Bergegas lari masuk ke dalam,
Sa’id Salmi tabah bermadah,
Hamba datang membawa salam.

Rasul suruh hamba ke mari,
Jumpai tuan Umar bangsawan,
Minta sampai pesan nurani,
Titah sepatah sabda Junjungan.

Puteri Tuan dara rupawan,
Pinta junjungan nikahkan hamba,
Harap Rasul ditolak jangan,
Demikian pesan Nabi utama.

Wahai Umar johan pahlawan,
Rasul Tuhan jangan perdaya,
Jadikan kami menantu tuan,
Hendak junjungan harapkan rela.

Puteri tuan kemala hikmat,
Relakan jadi isteri hamba,
Sudahlah jadi suratan hazrat,
Nikahkan kami dara jelita.

Demikian gerangan kisah awalan,
Budak yang hina sampai ke mari,
Demi Umar dengar khabaran,
Sampai rumahnya pintu dikunci.

Minta segera si dagang pergi,
Ayuhai akhi segera keluar,
Mengapa kesasar datang ke mari,
Bicaramu ini dusta benar.

Sa’id pergi langkah perlahan,
Airmatanya berderai dalam,
Menatap langit menadah tangan,
Berdoa kepada Khalikul ‘alam.

Rabbi ilahi Maha Penyayang,
Malang sungguh hambamu ini,
Tidak adanya dara seorang,
Relakan hamba menjadi suami.

Rindu hatiku tiada tertahan,
Siang malam gundah gulana,
Meskipun ini pinta Junjungan,
Juga ditolak wahai Maulana.

Mungkin kerana kulitku hitam,
Mukaku cacat hodoh sekali,
Demikian Sa’id mengucap kalam,
Sambil pulang ke tempat Nabi.

Marah Di Hati

Kepada Rasul berdatang sembah,
Segala berlaku dilaporkannya,
Malang hamba ya Rasul Allah,
Umar menolak pinta kelana.

Hamba diusir wahai junjungan,
Entah mengapa nasib begini,
Rindu jodoh tidak tertahan,
Bagaimana gerangan wahai Saidi.

Dara menadah tangan ke atas,
Sedu sedan tangis menjadi,
Kepada ayah bertanya ikhlas,
Ke mana pergi orangnya tadi?

Ke mana dia ke mana lari,
Katakanlah ayahku sayang,
Dia dah pulang anakku Siti,
Hitamnya bukan alang kepalang.

Mengapa ayah dia diusir,
Bukankah iaitu sebutir wahyu,
Sudah demikian suratan takdir,
Suruhan Rasul wahai ayahku.

Aduhai sayang ayahku tuan,
Takut gerangan anakku Siti,
Entah bala murkanya Tuhan,
Menimpa kita kini dan nanti.

Mungkin Rasul marah dihati,
Malang nasib anakmu tuan,
Entah datang ghadab Ilahi,
Ke mana kita minta lindungan?

Apa ayah percaya tidak,
Salah kita di dunia fana,
Dara menangis terisak-isak,
Airmatanya butiran mutiara.

Wahai ayah kemala negeri,
Betapalah pula nasib ‘nakanda,
Hamba senang merela pasti,
Jadilah isteri si buruk rupa.

Kalau Rasul bersenang sudah,
Hamba lillah engkar tiada,
Biar zahir cedera parah,
Di dalam hati senang jelita.

Diri terima pinta junjungan,
Pemberian Rasul indah sempurna,
Bagaikan malaikat Nabi Sulaiman,
Mengapa ayah suka tiada?

Dara bijak demikian kata,
Budi halus bijak bestari,
Alangkah takut hati ‘nakanda,
Kepada Allah Khalikulbahri.

Bimbang Cik Siti tidak terkata,
Azab siksa tetap menanti,
Kerana itu wahai ayahanda,
Lekaslah minta ampunan Nabi.

Cik Siti cantik budinya halus,
Lagi berkata pada si bapa,
Mengapa ayah berhati tandus,
Lupakah kepada Yang Mahakuasa?

Utusan Nabi hirau tiada,
Apatah ada jodoh yang lain,
Minta dinikah dengan ‘nakanda,
Sahabat setia dan yang prihatin.

Mengapa ayah menolak titah,
Allahu Allah hati terbuku,
Umar menjawab bagai membantah,
Bukan tak rela wahai anakku.

Hanya dia hitam warnaya pekat,
Hodoh sangat memandang rupa,
Dara bijak menyambut cepat,
‘Nakanda rindu cintakan dia.

Cik Siti sambut tangan terbuka,
Titah Saidina Penghulu umat,
Entah kenapa rela tiada,
Bermenantukan dagang melarat.

Jodoh kiriman Rasul Utama,
Atas jemala ayahku tuan,
Membatah ayah datangkan dosa,
Minta segera maaf junjungan.

Segera ayahku minta ampunan,
Sembahlah kaki mahkota negeri,
Sedarpun Umar dengar pesanan,
Lari pergi menjumpa Nabi.

Suratan Takdir

Demi Umar sampai ke sudah,
Rasul bertanya senyum di bibir,
Sampai hati kamu membantah,
Menolak qadha suratan takdir.

Umar sujud mencium kaki,
Ampunlah ya Habib dosa hamba,
Salahku besar tiada terperi,
Ampun ya Saidi maaf berganda.

Anak di rumah menangis resah,
Sesalkan ayah menolak sabda,
Suruh hamba berdatang sembah,
Meminta ampun segala dosa.

Sekarang rela wahai junjungan,
Pinta Maulana menolak bala,
Ampun dan maaf kami harapkan,
Terima semuanya di atas jemala.

Rasul menjawab berisi hikmat,
Maaf kau pinta pada Yang Esa,
Padaku tiada talian syufa’at,
Hanya Allah Pengampun dosa.

Kehendak Rasul ku tak engkari,
Apa kata Nabi ku rela semua,
Wahai Umar bila ‘kan jadi,
Tunggu ketika hari yang bahagia.

Umar menjawab, Wahai Junjungan,
Terserah Maulana bila masanya,
Wahai Umar pulanglah tuan,
Malam pengantin lusa ‘kan tiba.

Mas Kahwin

Sekarang Umar dia rela sudah,
Saudara boleh bersiap segera,
Kepada Ali sampaikan titah,
Minta sedekah sekadar belanja.

Seribu dirham minta di situ,
Harus sanggup beri pasti,
Kepada Usman setelah itu,
Juga seribu harus diberi.

Abu Bakar harus huluri,
Seribu juga kurang jangan,
Katakan wahai Sa’id Salmi,
Untuk mahar mas perkahwinan.

§

Melihat Salmi Nabi bertanya,
Sampaikah sudah cita di hati?
Sa’id menjawab, atas jemala,
Berkat mukjizat Penghulu Nabi.

Malah lebih dari di pinta,
Dua ribu diberi tiap seorang,
Enam ribu jadi semuanya,
Inilah dia wahai junjungan.

Rasul menjawab halus bicara,
Segala ini milikmu pasti,
Kami tiada perlukan harta,
Belilah pakaian athar dan kasturi.

Berbahagialah wahai Sa’id Salmi,
Janjiku dahulu sampailah sudah,
Tangguh tempuh hanya dua hari,
Kini terbukti nampak pun cerah.

Segala-gala telah ku beli,
Senang hatiku bahagia terasa,
Ke mana ku bawa semua ini,
Katakan segera wahai Maulana.

Nabi senyum menjawab tanya,
Beri petunjuk kepada Salmi,
Wahai Sa’id muda perkasa,
Dengarlah kata sabdaku ini.

Pakaianmu perhiasan diri,
Yang istimewa bungkuslah dulu,
Nanti waktunya sanding terperi,
Serahkan semua pada isterimu.

Sampai di pintu pengantin baru,
Orang tercengang sambil berkata,
Selamat datang selamat bertemu,
Anak dara rindu lara bercinta.

Wanita segala meluat melihat,
Mempelai sendiri saja suka di hati,
Cium tangannya bimbing ke tempat,
Sambut si suami Sa’idi Salmi.

Makbullah rindu dara jelita,
Bawa suaminya ke pelaminan,
Duduk bersanding di takhta cinta,
Puteri jauhari capai idaman.

Angkatan Rasul


Sudah takdir Ilahi Rabbi,
Kaum Yahudi khianati lagi,
Sampailah berita kepada Nabi,
Telah sepakat si kafir harbi.

Rasulullah segera bersabda,
Beri amanat kepada sahabat,
Semangat umat gegap gempita,
Nabi Utama serukan jihad.

Kini tekad haruslah bulat,
Panggilan jihad sudah kumandang,
Bersiaplah wahai teman sahabat,
Kafir keparat wajib dihadang.

Kami sendiri pimpin pasukan,
Bangunlah kawan berangkat segera!
Setelah siap segala lengkapan,
Angkatan Rasul mara gembira.

Dalam jalanan menuju pekan,
Sa’id Andalas jumpai Nabi,
Menjelang tujuh hari kenalan,
Berikanlah hadiah untuk isteri. ۞2

Dengar saudara gegap gempita,
Panggilan syurga bersayu-sayu,
Mari taulanku tua dan muda,
Sudah siaga berlumba maju.

Teman di luar siap nak sanggah,
Segeralah saudara kita ‘kan mara,
Dara di syurga menanti gairah,
Di medan jihad menunggu kanda.

Saudara-saudari pahlawan muda,
Bidadari di medan sedang menanti,
Jemputlah segera seisi syurga,
Pelipur hati dendam berahi.

Tuhan Mahakuasa

Demi Sa’id mendengar seruan,
Titik berlinang air matanya,
Antara isteri dan medan lawan,
Tegak terpacak bergerai tiada.

Mengadah ke langit menatap awan,
Berguguran embun dari mataya,
Menangis haru pohon ampunan,
Wahai Tuhanku Kau Mahakuasa.

Ya Ilahi Tuhanku Rabbi,
HambaMu ini hinalah sangat,
Mabuk rindu kepada isteri,
Hari dan malam teringat-ingat.

Dapat sudahlah berjodoh kami,
Berkat Nabi Penghulu umat,
Untuk berjuang demi pertiwi,
Berani mati bangsa selamat.

Dengan iradah kehendakMu Tuhan,
Rasul kami akan berangkat,
Hasrat hamba ikut ke medan,
Biarlah si isteri doakan berkat.

Hartaku ini wahai Ilahi,
Kuserahkan kini semua padaMu,
Panggilan jihad menjemput hati,
Hamba tak tinggalkan RasulMu tentu.

Penuh rela hamba berangkat,
Ke medan jihad tentulah pergi,
Sa’id Salmi demikian hajat,
Serahkan diri pada Ilahi.

Sesampai Sa’id di depan Nabi,
Cium kaki mohon sempena,
Apalah kiranya ampunilah kami,
Maaf Saidi hamba yang hina.

Gerangan apakah maksudmu Salmi,
Katakan segera pahlawan muda,
Izinkan hamba wahai Habibi,
Ikut berjihad dengan Maulana.

Engkau seorang tinggallah sayang,
Ke medan perang tangguhkan dulu,
Baru saja berkasih sayang,
Berbulan madu belum seminggu.

Tak usah Sa’id pergi sekarang,
Jihad ini tali-menali,
Tapi Sa’id tetap berpegang,
Hatinya padu hendak ikuti.

Letaknya tangan atas jemala,
Maaf berganda minta diberi,
Ampun beribu maafkan hamba,
Izinkan kami turut sekali.

Jawab Nabi lembut suara,
Mengapa Sa’d menuntut mati?
Pikir sejenak renungkan sabda,
Suara di dada dorongkan lagi.

Sa’id Syahid Di Medan Bakti

Ali melihat ingat kembali,
Sa’id Salmi yang hitam pekat,
Berbahagialah engkau Sa’id Salmi,
Syurga tinggi tempatmu sahabat.

Inilah hamba Sa’id Salmi,
Wahai Ali pahlawan utama,
Ampun maaf beribu kali,
Kami ‘kan kembali ke negeri baqa.

Sambil Sa’id berlaku demikian,
Kafir ditikam kanan dan kiri,
Takdir Allah Khaliqu’r-Rahman,
Syahidlah Sa’id pahlawan sakti.

Berperang garang hilangan ingatan,
Dunia seakan tiada lagi,
Akhirat hanya terbayang-bayang,
Sa’id nyaman tenteram hati.

Kafir keparat menembak tepat,
Dada Sa’id belah berdarah,
Tercampak badan kuda melompat,
Sampailah hajat pulang ke Allah.

Datang dara ulurkan tangan,
Belai tubuh pangku kepala,
Rindu hati puteri rupawan,
Sambut datang pahlawan satria.

Sampailah lapuran kepada Nabi,
Betapa dahsyat jihad berlaku,
Seorang pahlawan gugur pasti,
Namanya hamba kurang tahu.

Demi Rasul mendengar berita,
Periksa segera selidik siasat,
Jumpa Ali tanyakan segera,
Suasana perang di medan jihad.

Siapa yang syahid wahai ya Ali,
Sahabat banyak kenal tiada?
Ali menjawab ‘Wahai Habibi,
Sa’id Salmi pahlawan utama.’

Sa’id Salmi berperang garang,
Barangkali telah dia wafat,
Dengar kabar Rasul bimbang,
Sampai hari tujuh tepat.

Gegas berjalan Mahkota Alam,
Pahlawan gugur di mana-mana,
Demi dilihat Sa’id terlentang,
Menangis Rasul duka nestapa.

Aduhai Sa’id pahlawan kami,
Mengapa sini tubuhmu kapar,
Di sana dalam pangkuan isteri,
Yang kau tinggalkan hanya sebentar.

Jawab Nabi berpenjelasan,
Airmata berlinang titik berderai,
Melihat Sa’id terkapar badan,
Di dunia cinta tiada tercapai.

Nanti malam cinta berpadu,
Dara rindu lama menanti,
Bidadari lembut merayu,
Turun beribu berlari-lari.

Lumba mendulu rindu suami,
Rupa jauhari cantik rupawan,
Gilang gemilang Sa’id Salmi,
Datang isteri membimbing tangan.

Malu kalbu tersipu aku,
Jodoh Salmi wajah berseri,
Tarik menarik senyum memadu,
Mandang kami sayu menyepi.

Sampai utusan kepada Umar,
Pesan Rasul kabarkan segera,
Puteri rupawan menangis gusar,
Cintaku tak sampai wahai Rabbana.

Dahulu ayah mula tak suka,
Hitam legam hodoh katanya,
Tubuhku ini bahagia tiada,
Pahlawan mulia lepas ke sana.

Aduhai Sa’id pahlawanku sayang,
Engkau hanya suamiku sorang,
Adik inilah kekasih abang,
Dunia akhirat cinta tak lekang.

Asaku putus Tuhan Penyayang,
Hanya terlihat rupa di mata,
Bilakah mungkin hatiku gerang,
Harta pusaka berguna tiada.

Tiga hari baru bersuami,
Kini sudah kami menjadi janda,
Puteri menangis ratapi diri,
Sesalkan badan bahagia tiada.

§


Demikianlah kisah pahlawan takwa,
Ambillah saudara jadi ibarat,
Renungi isi tamsil segala,
Lupanya jangan wahai sahabat.

Mari saudara turun berjihad,
Apakah lagi dinanti-nanti,
Mengapa berperang kurang hasrat,
Demikian tinggi kurnia Ilahi.

Saudara-saudari adik dan abang,
Jangan bimbang mencari harta,
Kendati emas simpan di gudang,
Sungguh dan pasti pulang ke baqa.

Jika kau mati bukan di medan,
Sengsara badan tidak terkira,
Sembilan ribu bala mendatang,
Nyawa keluar sakit tersiksa.

Tiada Tuhan selain Allah,
Mahakuasa Pencipta dunia,
Nabi Muhammad Rasulullah,
Indah bahagia perangi Belanda.

Siapa cinta merindu syurga,
Mari berperang sayangku sayang,
Menjelang jodoh dara juita,
Di taman firdausi dambakan abang.

Segala di dunia tiada serupa,
Kurnia Ilahi puaslah hati,
Lekas pergi pahlawan mulia,
Dalam syurga kurnia menanti.

Mengapa hati terikat di sini,
Tertambat pada isteri yang muda,
Lekas lekaslah segera pergi,
Bidadari sedia menanti kanda.

Mengapa saudara cinta keluarga,
Sayang sahabat menolak jihad, ۞3
Lekaslah turun panggul senjata,
Goda dan godam setan keparat.

Ikut saudara perintah Allah,
Jihad berperang di Jalan Allah,
Demikian firman suruh perintah,
Kalam Allah hikmah berisi. ۞ 4

Bawa bersama harta segala,
Nyawa saja cukup tiada, ۞5
Ingat saudara siksa neraka,
Untuk mereka yang kikir harta.۞6

Menyimpan emas di dalam peti,
Kerana perang pakai tiada,
Siksa pasti menimpa nanti,
Tubuh hancur remuk segala.۞7

Azab sengsara menimpa diri,
Kerana gila ‘kan kekayaan,
Nimbun harta emas berperi,
Enggan menderma untuk peperangan.۞ 8

Suami

Setelah pintu dibuka dara,
Tercengang rupawan tanya dihati,
Berdatang sembah puteri jelita,
Gerangan siapa hai abang ini?

Sekejap hairan sungguh terta’jub,
Mengapa dara sasar periksa,
Kemudian senyum terlepas sayup,
Canda bergelutan di ombak bibirnya.

Tidakkah tuan mengenal kami,
Inilah suami dagang yang hina,
Terkatup mulut tergigit gigi,
Hai tuan puteri hati gembira.

Ampun dan maaf menjunjung duli,
Kekanda tercinta kenal tiada,
Dara jelita bijak berperi,
Tanya suami khabar berita.

Terbetik berita di angin selayang,
Kekanda tuan pulang ke baqa,
Kanda dah syahid di medan perang,
Badan terkapar nyawa pun tiada.

Meski demikian adikku jauhari,
Rabbul Jalillah Yang Mahakaya,
Kami kembali pada Ilahi,
Terasa sepi ingatan tiada.

Pahlawan syahid tahukah adik,
Tuhan Khaliq limpah kurniaNya,
Terlindung dari dunia yang terik,
Mahakuasa Dia atas segala.

Suara Latar : Pada suatu malam kedatangan Sa’id Salmi dilihat seorang pemuda yang melaporkan peristiwa itu kepada Ali. Ali mengatur langkah untuk menangkap orang itu esok malam. Setibanya Sa’id Salmi dia diberkas dik Ali dan Ali pun bertanya -

Siapa engkau mengapa ke mari,
Ke rumah ini di hati malam?
Sa’id menjawab jelas berperi,
Ke isteri sendiri kami mendatang.

Mengapa pulang malam begini,
Keranamu kami salah segala,
Kami sembunyi di siang hari,
Perintah Ilahi demikian rupa.

Kami bergerak di larut malam,
Rindu di hati bawa ke mari,
Ali pun faham melepas genggam,
Sa’id masuklah disambut isteri.

Ali segera menjumpai Nabi,
Cium kaki sembah jemala,
Ya Rasulullah kekasih kami,
Sa’id dah mati hidup mengapa?

Jawablah Nabi yakinkan Ali,
Pahlawan syahid mati tiada,
Sesaat hanya jasad sembunyi,
Ilahi Rabbi Yang Mahakuasa.

Meskipun rupa hodoh di mata,
Si syahid kembali segak sekali,
Kini dia hidup selama-lamanya,
Bahagia di dadanya sungguh berperi. ۞9

Sampai Sudah


Sudah berputra tiga sekawan,
Berfirman Tuhan malaikat tiba,
Tempuh Sa’id bercinta-cintaan,
Tiba akhirnya tinggallah dunia.

Ambil ibarat tamsil dan hikmat,
Kisah Saidi pahlawan muda,
Alhamdulillah kisah dah tamat,
Cerita jihad Salmi yang mulia.

§

Amma ba’du saudaraku sayang,
Mujahid berbakti Allah kasihi,
Janat tempatnya luas cemerlang,
Dayang-dayang dara cantik bestari.

Tujuh puluh si bidadari,
Kekasih hati dara di syurga,
Dayang-dayang bertambah lagi,
Tujuh puluh pula usia sebaya.

Wahai saudara pahlawan bangsa,
Malas mengapa turun gelanggang,
Takdir hidup beroleh kuasa,
Lazat walaupun nyawa melayang.

Saudara-saudari menung mengapa,
Bangkit berperang adik dan abang,
Ikut perintah Yang Mahakuasa,
Bandingan tiada pahala berperang.

Disamping segala amal ibadat,
Pahala jihadlah Tuhan menyayang,
Jangan dikira wahai sahabat.
Nyawa melarat lekas melayang.

Khalid bin Walid di masa Rasul,
Mujahid unggul dengar kisahnya,
Menangis kerana tidak dimakbul,
Tubuhnya reput syahid tiada.۞10

Di mana saja perang berpecah,
Khalid yang gagah tampil segera,
Luka di badan masih berdarah,
Tiada pedulikan wira perkasa.

Pada segala perang sejagat,
Khalid bertekad pulang tiada,
Ambillah dia jadi ibarat,
Tamsil dan hikmat perkuatkan jiwa.

Langkah Sabil berundur jangan,
Jalannya ini mati dah pasti,
Sebelum lagi ajal mendatang,
Nyawa melayang tiada berjanji.۞11

Wahai belia sayang takut mengapa,
Memerangi Belanda maupun Yahudi,
Jangan gusar berdukacita,
Itu yang dipinta Ilahi Rabbi. ۞12

Takut mengapa si manjaku sayang,
Ke medan perang mara segera,
Putera-puteri dan hulubalang,
Bangun berjuang bangsa agama.

Hai muda sayang kenapa membeku,
‘Kan kau kesali hari akhiri,
Rangsangkan mukmin berjihad maju,
Perisaikan iman, menang dah pasti.۞13

Kehendak ilahi rangsangkan diri,
Yakinkanlah taulan yang Mukmin.۞14
Berjuanglah demi melindung negeri,
Itu kewajipan segala Muslimin.

Titik menitik senang di dunia,
Lupa segala hati menari,
Mengapa kita kejar tiada,
Kurnia berlimpah dari Ilahi.

Mari saudara bangun berjihad,
Harta dunia dermalah segera,
Ganjaran mendatang tiadalah terhad,
Demikian janjiNya pulangan ganda.۞15

Laksana menanam sebatang kayu,
Rampak merimbun daun merindang,
Bertunas tujuh cabang baharu,
Meranum buah rezki dipulang.

Saudaraku sayang adik dan abang,
Mengapa bimbang cintakan dunia,
Dermakanlah harta di gudang,
Biaya jihad besar sungguh hikmatnya.

---------------0-----------------

† menyempad – menyempad(an)

۞

1. an-Nisa: 74 – Maka peranglah pada jalan Allah mereka yang lebih suka hidup di akhirat pada hidup di dunia. Barang siapa berperang pada Sabilillah dan dia tewas atau dia menang, oleh Kami akan diberikannya pahala yang besar.
Ini adalah Adat Aceh. Suami-isteri tidak bersekali selepas ijab-kabul dan pada hari ke tujuh suami memawa isterinya hadiah supaya merapatkan hubungan.

2. al-Baqarah: 165 – Pun masih ada manusia yang menyekutu Tuhan dan mereka mencintai berhala-berhalanya bagai ianya Tuhan. Orang-orang mukmin cintai Allah lebih daripada segala-segala. Andainya orang-orang yang inaiya itu berupaya membayangkan siksaan yang akan mereka hadapi, nescaya mereka akan ketahui semua kuasa adalah kuasa Allah dan Allah tetap melaksanakan hukumanNya.

3. al-Baqarah: 216 – Kamu boleh diperlukan berperang, sedang berperang itu tentulah sesuatu yang kamu benci. Namun, boleh jadi sesuatu yang kamu benci adalah yang lebih baik bagimu, sepertimana boleh jadi sesuatu yang kamu kasihi akan melaratkan kamu. Allah Mengetahui, bukan kamu yang mengetahui.

4. as-Saff: 10-11 – Wahai orang-orang mukmin, mahukah aku tunjuk padamu satu transaksi yang akan lepaskan kamu daripada siksa yang pedih?
[Ia adalah] beriman pada Allah dan rasulNya, dan berjuanglah pada Jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu jika kamu ketahui.

5. Muhammad: 28 – Mereka menuruti apa yang dimurkai Allah dan mereka tidak peduli untuk mencari keredhaanNya. Kerana itu Dia sia-siakan amalan mereka.

6. at-Taubah : 34-35 – Wahai orang-orang yang beriman, kebayakan di antara padri-padri dan rahib-rahib mereka itu memakan harta dengan jalan yang batil dan mereka menghalangi manusia yang ingin menuruti Jalan Allah. Hendaklah kamu beri peringatan siksaan yang pedih kepada orang-orang yang mengumpul emas dan perak tanpa membelanjakannya pada Jalan Allah.
Akan tiba masanya harta yang mereka membolot digunakan untuk membakar mereka pada muka, rusuk dan belakang mereka. Inilah harta yang kamu simpan untuk dirimu, maka rasalah olehmu pembalasan tamak-halobamu.

7. al-Baqarah:195 – Belanjalah (hartamu) pada Jalan Allah dan janganlah kamu binasakan dirimu. Kerjakan kebajikan. Sesungguhnnya Allah kasih orang-orang yang mengerjakan kebajikan

8. Ali Imran: 169-171 – Jangan kamu sangka mati orang-orang yang tewas pada Jalan Allah, bahkan mereka idup di sisi Tuhan dan diberiNya rezki.
Mereka bergembira beroleh limpahan kurnia Allah dan bersenanghati terhadap saudara-sauara mereka yang belum gugur. Mereka pun tidak takut dan tidak bimbang.

9. Khalid ibn al-Walid, "Pedang Islam", tidak gugur pada medan perang dan sebaliknya, kerana beliau bersalah merampas isteri orang, telah dibuang daerah dan kesudahannya, mati tua pada tahun 21 H. (641-2 M) di Hims (Hama di Syria sekarang).

10. an-Nahl: 61 – Kalau Allah menyiksakan manusia kerana mereka zalim, nescaya tidak akan tinggal sesuatu yang melata d bumi. Mereka diberikan sesuatu tempuh sehingga masa yang ditentukanNya. Akan tetapi, bila sampai ajal mereka, tak mungkin mereka melambatkan maupun percepatkannya.

11. al-Ankabut: 33 – Apabila dating utusan-utusan Kami pada Lut, beliau berdukacita kerana mereka diperlakukan dengan buruk oleh kaumnya Maka kata mereka, ‘Jangan kamu takut dan berdukacita. Kami akan menyelamatkan kamu dan keluargamu, kecuali isterimu. Dia termasuk mereka yang dalam disiksa.

12. al-Anfal: 65 – Wahai Nabi, ajaklah orang-orang yang beriman supaya berperang. Jika kamu hanya 20 puluh orang, kamu akan kalahkan 200 orang kafir. Jika kamu 100 orang, kamu akan kalahkan 1000, kerana mereka itu kaum yang tidak mengerti hukum.

13. an-Nisa: 84 – Maka hendaklah kamu berperang pada Jalan Allah dan meskipun kamu bertanggungjawab hanya pada dirimu, hendaklah kamu mengajakkan orang-orang yang beriman supaya berperang. Allah akan membendung kekuatan orang-orang kafir dan Allah Mahakuasa dan amat tegas.

14. al-Baqarah: 261-262 - Mithalan rang-oang yang membelanjakan hartanya pada Jalan Allah adalah seperti sebutir benih yang tumbuh menjadi tujuh tangkai bijirin, dan pada tiap-tiap tangkainya terdapat 100 benih. Allah melipatgandakan ganjaran bagi sesiapa yang dikehendakiNya. Mahakaya Allah, lagi Mahamengetahui.

KISAH PASUKAN GAJAH



HANCUR PASUKAN GAJAH




Sebelum bencana tiba berganda,
Hilangkan ragu-ragu di dalam zihin,
Bila tak rela melawan Belanda,
Allah memilih tenteraNya yang lain.


Laksana kisah pasukan gajah,
Sebelum Nabi Besar lahir ke dunia,
Masih di dalam kandungan ummah,
Dengarlah saudara khabar berita.

Kafir celaka memusuh Allah,
Memerangi Mekah kota mulia,
Ingin robohkan bangunan Ka’bah,
Penduduk Mekah jangan bicara.

Orang Mekah geger takutan,
Mundur berduyun keluar kota,
Musuh bersiap untuk menyerang,
Gegap gempita di padang raya.

Burung Ababil terbang menyerang,
Hancurkan musuh kafir celaka,
Gugurkan batu serang berulang,
Laksana guruh gegak gempita.

Kafir celaka musnah binasa,
Mayat terkapar bersusun bangkai,
Tetap berdiri seorang saja,
Puluhan ribu hancur berderai.

Si tunggal yang hidup pulang seorang,
Menyampai berita kepada taulan,
Ambillah ibarat saudaraku sayang,
Jadikan teladan dalam perjuangan.

Lawan Belanda

Tuhan kita Yang Mahakuasa,
Perintah jihad lawan Belanda.
Sebelum terbit amar berganda,
Marilah mara wahai saudara.

Kalau penjajah sudah berkuasa,
Rugi berganda wahai saudara,
Engkar kepada Yang Maha Esa,
Hina di dunia akhirat neraka.

Begitu hendaknya wahai saudaraku,
Menjunjung tinggi perintah Ilahi,
Ambil ibarat peristiwa yang lalu,
Masa terjadi perang di Idi.

Kafir terkutuk ribuan mati,
Mata pedang pecah berbingkah,
Demikian terjadi wahai jauhari,
Kaum Muslimin pantang menyerah.

Kenangkan sejarah saudaraku sayang,
Berperang mengapa berani tiada,
Sedarilah adik dan abang,
Tuhan kita Esa Yang Mahakuasa.

Perangilah adik musuh-musuh Allah,
Bantuan Tuhan pasti mendatang,
Seperti yang nyata di dalam firman,
Dalam al-Qu’ran jelas terpampang. ۞1

Saudara-saudari pahlawan Islam,
Mari berperang melawan Belanda,
Tetapkan hati kuatkan iman,
Bantuan Tuhan pasti ‘kan tiba. ۞2

Firman Allah sepatah ini,
Jangan lupakan wahai saudara,
Demikian perintah Ilahi Rabbi,
Ayuhlah mara perangi Belanda.

Hilang Dosa

Aduhai teman saudaraku sayang,
Peluang jihad tidak selalu,
Baharui niat ingin berperang,
Dosa di badan hilang berlalu.

Baru selangkah tinggalkan rumah,
Pasang niat perangi Belanda,
Segala dosa terhapus sudah,
Seperti bayi pulang semula.

Belum lagi sampai di medan,
Kurnia Tuhan sudah berganda,
Bayangkanlah nikmat hadapan,
Musuh laknat kafir Belanda.

Tidak terkira besarnya pahala,
Kurnia Allah Khaliqu’l-Bahri,
Dengan perintah Yang Mahakuasa,
Malaikat datang membantu pasti.۞ 3

Pintu syurga terbuka lebar,
Atas perintah Allah Ta’ala,
Syahid badan jatuh terkapar,
Jiwa melayang pulang ke syurga.۞4

Demikian pesanan saudaraku sayang,
Hadis junjungan Rasul Utama,
Maksud dan makna jelas dan terang,
Uraian panjang tak perlu ada.

Saudaraku sayang adik dan abang,
Mari berperang melawan Belanda,
Setapak kita ke medan perang,
Berat timbangan tiada terkira.

Langit dan bumi tiada berdaya,
Memikul berat pahala jihad,
Lepaskan pelor tembak Belanda,
Musuh Anbiya kafir keparat.

Entah kena ataupun tidak,
Asalkan berani tembak si kafir parah,
Allah berikan pahala banyak,
Seperti membebaskan budak jariyah.

Demikian pahala diberi berganda,
Imbalan sekali menembak Belanda,
Entah betapa besarnya pahala,
Kalau menembak terhitung tiada.

Apa Pahala Perang?

Ke Mekah kita wahai kawanku,
Habis harta tiada terkira,
Bermukim sana berwaktu-waktu,
Pahala perang mengatasinya.

Sehari berjihad di medan perang,
Menggunung pahala wahai saudara,
Demikian Hadis sabda junjungan,
Bukan khabaran rekaan hamba.

Semasa hidup kekasih Allah,
Sebuah kisah dengar saudara,
Seorang muda datang bersembah,
Pahala perang ditanya apa.

Apa imbalan wahai junjungan,
Pahala perang apa rupanya,
Jawab Rasul Syurga imbalan,
Balasan bagi mujahid setia.

Allah berikan kita syurga,
Lebar seluas langit dan bumi,
Demi mendengar demikian sabda,
Semangat perang menyala berahi.

Pemuda kita gagah berani,
Ke medan perang berangkat garang,
Sesaat masa muda jauhari,
Terkapar syahid di medan juang.

Demi badan terkedang rebah,
Tunangan datang dara nin syurga,
Pangku kepala sapukan darah,
"Alhamdulillah" ucapkan puja.

Mati syahid sakitnya tiada,
Sama seperti mengerat kuku,
Jangan katakan mati mereka,
Mujahid abid hidup selalu.۞5

Mereka hidup di sisi Allah,
Dalam syurga bertakhta bahagia,
Kendarai kereta yang keemasan,
Meski pun tubuh roboh di dunia.

Siang malam dikurnia Tuhan,
Makanan terhidang lazat rasanya,
Bagai hidangan Nabi Sulaiman,
Masih bersisa lagi pun tiba.

Demikian gerangan sesuntuk masa,
Tuhan Esa beri segala,
Semua sentosa rasa bahagia,
Kembali ke dunia ingin tiada.

Bawah bayangan pedang jenawi,
Di sana syurga Allah mengilham,
Taman yang hidup kekal abadi,
Nikmat kurnia bernilam pualam.

Demikian perintah Tuhan hadharat,
Tamsil ibarat bagi pejuang,
Nikmat kurnia pahala akhirat,
Begitulah nanti hidupmu senang.

Di akhiri nanti kurnia yang pasti,
Ayuhlah kini ke medan perang,
Mujahid jati kasih Ilahi,
Kasih sayang Allah untukmu pejuang.


------------------[]---------------------



۞
1. at-Taubah: 14 - ‘Perangi mereka, nescaya Allah akan menyiksa dan menghinakan mereka melalui tanganmu, serta menolong kamu menewaskan mereka dan mengembirakan hati kaum yang beriman.’

2. Muhammad:7 – ‘Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong Allah nescaya Dia menolong kamu dan menetapkan pendirianmu.’

3. Ali Imran: 124-5 – ‘Kau [Muhammad] berkata kepada para mukmin, ‘Apakah tidak mencukupi Tuhan membantu kamu dengan menurun tiga ribu malaikat?
Sesungguhnya, jika kamu bersabar serta bertaqwa dan orang-orang kafir itu datang menyerang kamu, maka Tuhanmu akan menolong kamu dengan lima ribu malaikat.’

4. Saad : 49-52 – "Ini adalah peringatan: ‘ Sesungguhnya untuk orang-orang yang bertaqwa telah ditentukan destini yang seindahnya.
Pintu-pintu Ednin [syurga] telah terbuka untuk mereka.
Beristirehat di dalamya, mereka beroleh berbagai bauh-buahan dan minuman yang lazat.
Didampingi isteri-isteri yang sebaik-baiknya.’"

5. al-Baqarah: 154-5 – ‘Jangan berkata mengenai mereka yang gugur dalam Jalan Allah bahawa ‘Mereka telah mati,’ kerana mereka hidup. Cuma kau yang tidak
menyedarinya.
Kami tetap akan menguji kamu dengan berbagai dugaan, dengan ketakutan, kelaparan, kerugian wang, nyawa dan tanaman. Mereka yang sabar akan bergembira.’

Sekapur Sireh


Sekapur Sireh

Sastera adalah bahtera jiwa bangsa. Di mana letaknya teras dan teraju sastera Melayu menjadi pertanyaan yang telah berpuluh-puluh tahun mengusik katahati generasi kami yang telah menempuh pendidikan tertiary sewaktu Malaysia kelahiran dalam gelora yang sampai kini belum kepudaran.


Sastera yang teras barangpasti menyimpan padanya nilai-nilai asas budaya bangsanya di samping menyimpulkan penglihatan dunia, worldview, masyarakatnya. Pada masyarakat Melayu, worldview itu, justeru, tentu sekali meruntun sesuatu pengertian dan kefahaman Islam, khusus berkenaan penghayatan agamanya.

Bagaimana mungkin agama Islam bersemadi dengan sebegitu intim pada jiwa Melayu menjadi pertanyaan yang ternganga luas bagai mulut buaya yang berjemuran. Apakah unsur yang menjadikan ianya tidak bisa ditembusi lain-lain agama? Meskipun kita berada dalam taklukan kuasa Hindu-Buddha sepanjang beratus-ratus tahun dan kemudian disinggung Barat mulai abad ke 16, sistem nilai masyarakat Melayu terus terpengaruh oleh Islam lebih daripada lain-lain agama yang pernah menakluknya.

Pada serangkai sya’ir yang disemaikan dalam ruangan blog ini barang mungkin akan kita peroleh sedikit imbasan yang mampu mendekatkan kita dengan jawapan yang kita mencari.
Islam, seperti yang dihidangkan pada syair-syair ini, membentangkan suatu hidangan asas keimanan, a basis of faith, yang kita tahu ada tersimpan dalam khazanah agama kita. Namun itu, jarang-jarang sekali kita temuinya untuk melazatkan rasa iman lebih daripada penjamahan yang boros dengan ritual - Rukun-Iman-Enam-Perkara, dan yang sepertinya.

Sejambak syaer ini lahir dari seruan Haji Muhammad (Teuku Chik Pante Kulu) dalam gelora serangan Belanda yang berjaya menguasai Bandar Aceh pada tahun 1873-74.

Kerana ianya telah menghidupkan semangat juang dan menjadi perangsang utama gerakan pembebasan Aceh sejak 1880an, sya'ir-sya'ir ini, justeru, dinamakan Hikayat Prang Sabe (Hikayat Perang Sabil). Dengan itu, ia seolah-olah beroleh nyawanya sendiri, bermaksud menjadi "Ruh" pada perjuangan rakyat Aceh, dan seterusnya, kaum Melayu di Nusantara.
Sejarahnya begini:

Setelah berkali-kali gagal untuk menjajah Aceh, Belanda kesudahannya mendarat pada bumi Aceh dengan balatentera besar di bawah pimpinan J.H.R.Kohler pada jam 5 pagi, 8 April 1873 dan terus menyerbu Masjid Raja. Enam hari kemudian Kohler ditembak mati (14 April) dan di bawah kepimpinan Kol. Van Daalen, Belanda berjaya berundur buat seketika.

Pada 28 Nov. 1873 armada Belanda di bawah pimpinan Lt. Jen. J. V. Swieten tiba dan setelah mengenakan kepungan laut, balatenteranya mendarat di Kuala Lue pada 9 Disember dan sekali lagi menguasai Bandar Aceh. Pendaratan inilah yang memulakan satu agresi Belanda yang meskipun berjaya menakluk sebahagian daripada bumi Aceh, penaklukannya itu tidak diakui rakyat.

Semangat juang Aceh sampai ke sudah tidak patah. Pada Perang Pasifik, sebelum Jepun mendarat di Aceh, rakyat telah terlebih dulu membersihkan Belanda daripada buminya, iaitu 63 tahun setelah Belanda menduduki Kutaraja (Bandar Aceh).

Sewaktu Belanda menyerang pada tahun 1873, Sultan Aceh adalah Sultan Mahmud, berumur sekitar 16-17 tahun dan meninggal dunia sejurus kemudian, yakni pada 28 Jan. 1874. Penganti baginda, Sultan Muhammad Dawud Shah, yang merupakan Sultan Aceh yang terakhir, adalah kanak-kanak berumur antara 6 dan 7 tahun. Aceh dipimpin Mangkubumi Tuanku Hasyim. Beliaulah yang meneruskan perjuangan gerila sehingga kerajaan mengambil keputusan supaya menyerahkan kepimpinan kepada ulama pada tahun 1880 untuk melancarkan Perang Sabil.

Sultan Muhammad Dawud Shah terus berjuang sehinggalah baginda terpaksa menyerah pada 9 Jan. 1903, yakni 30 tahun selepas serangan Belanda yang pertama.
Pada tahun 1880, perjuangan pembebasan Aceh yang hampir terkulai telah Sultan serahkan supaya dipimpin oleh Teungku Chik di Tiro Muhammad Amin. Sultan memberikan beliau kuasa untuk memimpin Perang Sabil dan melantikkannya menjadi Wazir Sultan.

Jiwa perjuangan gerila itu terus bertukar. Prof. Tk. H. Ismail Yakub menulis,

Teungku Tjhik Abdul Wahab Tanoh Abee dalam rapat besar di Langse menegaskan : sebelum kita memerangi musuh lahir, perangilah musuh batin dahulu, iaitu hawa nafsu. Harta rakyat yang ada pada kita masing-masing yang telah diambil kerana menurut hawa nafsu, serahkanlah kembali dengan segera. Janganlah rakyat selalu teranaiya. Tegakkan keadilan di tengah-tengah kita terlebih dahulu. Dari itu tobatlah wahai teuku-teuku sebelum mengajak rakyat memerangi kompeni. [Prof. Tk. H. Ismail Yakub, 1979, p. 40]

Berikutan gerakan pembersihan jiwa dan nafsu itu, golongan mujahid telah bertemu di Gunung Biram dan memutus untuk menghubungi Teungku Chik di Tiro. Satu barisan seramai 6,000 orang didirikan dan satu pasukan dihantar ke Aceh Besar di bawah pimpinan Teungku Chik di Tiro Haji Muhammad Saman, yang baru pulang daripada Mekah.

Teungku Pante Kule adalah kekariban Teungku Chik di Tiro. Lahir pada tahun 1836, beliau belajar di Dayah (Pondok) Tiro Muhammad Amin dan melanjutkan pelajaran ke Mekah. Beliau yang berada di Mekah sewaktu perang meletus di Aceh telah pulang pada tahun 1880 dan syair-syair yang dibentang ini oleh beliau dikarang (dan/atau diterjemahkan) sewaktu dalam perjalanan kembali ke Tanah Air.

Apakah beliau kembali ke Aceh bersama Teungku Chik di Tiro Muhammad Saman belum dapat dipastikan. Namun, Teungku Chik Muhammad Samanlah orangnya yang memasyhurkan Hikayat Prang Sabe.

Siri syair yang diberi jodol Hikayat Prang Sabe (Hikayat Perang Sabil) ini mengandungi empat ‘Kisah’, iaitu (a) Kisah Ainul Mardhiah, (b) Kisah Pasukan Gajah, (3) Kisah Sa’id Salmi, dan (d) Kisah Muhammad Amin (Budak Mati Hidup Kembali).

Syair-syair ini (Hikayat Prang Sabe), dalam berbilang versi, digemari sebagai sastera asas perjuangan pembebasan Aceh sampai sekarang. Versi-versi tulisan tangan turut terdapat di Tanah Melayu. Walau demikian, bentuk yang dihidangkan di sini adalah terjemahan dari bahasa Aceh oleh bekas Gabenor Aceh, Allahyarham A. Hasmy.

Darihal semangat dan pengertian dasar iman yang terkandung padanya, meskipun syair-syair ini memberangsangkan jihad qital (perang sabil), haruslah disedari dan dijadikan dasar pembacaannya bahawa jihad merangkumi semua perjuangan dan tidak semestinya perang.
Penulis telah edit syair-syair ini supaya ianya disesuaikan dengan cara dan gaya syair lazim dinyanyikan pada masyarakat Melayu Semenanjung. Syair mesti dinyanyikan. Jika tidak, ia samalah seperti menjamah hampas kelapa selepas habis santannya diperah. Yang tinggal semata-mata kibohidrat.

Siri ini bermula dengan Kisah Pasukan Gajah dan Kisah Sa'id Salmi.

References


1. Prof. Tk. H. Ismail Yakub, Cut Meutia Pahlawan Nasional Dan Puteranya, C.V.Faizan, Semarang, 1979

2. A. Hasjmy, Apa Sebab Rakyat Aceh Sanggup Berperang Puluhan Tahun Melawan Agressi Belanda, Bulan Bintang, Jakarta, 1977, cet. kedua. (Firma Pustaka Faraby, Banda Aceh), 1971

3. Siegel, James, Shadow And Sound –The Historical Thought of a Sumatran People, Chicago, 1979

4. Prof. Dr. Tudjimah, Syeikh Yusuf Makasar – Riwayat dan Ajaranna, Jakarta, 1997

5. Snouck Hurgronje, C., Mekka in the latter part of the 19th Century, trs. J.H. Monahan, Leiden, 1970